Konvoi bersejarah Kelab Cherry Easter
Tiba seawal jam 8.45 pagi di Dataran Putra, Putrajaya, satu pandangan lain dari kebiasaan apabila bahu jalan dipenuhi model MPV (kenderaan pelbagai guna) Chery Eastar. Sesekali pelancong China yang hadir di situ turut menjeling bangga melihat produk automotif negara mereka dan riuh ahli Kelab Chery Easter (KCE).

Suara riuh rendah jelas kedengaran dan masing-masing kelihatan sibuk berbual dan menguruskan kenderaan masing-masing. Sudah menjadi kewajiban bagi ahli kelab pemotoran yang ditubuhkan, tanpa konvoi maka tidak lengkaplah penubuhan kelab kereta tersebut. Namun kali ini, ia sedikit berlainan bagi KCE yang tubuhkan pada 2009.

Bukan sekadar aktiviti tahunan, KCE melakar sejarah sendiri dalam Malaysia Book of Records (MBR) yang menjadi tirai penutup buat mereka bagi 2011. Diiktiraf sebagai konvoi terpanjang menggunakan satu model kereta di Malaysia, ia berlaku tanpa dirancang.

Menurut Presidennya, Ridhoan Mohd Lazim, tercetusnya idea berkenaan adalah hasil daripada penyertaan menggalakkan yang diterima oleh KCE bagi aktiviti himpunan tahunan mereka.

"Program itu dirancang seawal April lalu dan kami menerima 100 penyertaan dalam tempoh singkat.

"Justeru, saya mengambil inisiatif menghubungi MBR dan menurut MBR, kami hanya perlu mengumpul 130 kereta untuk diiktiraf," katanya kepada Pemotoran.

Tanpa disangka, beliau yang lebih dikenali sebagai Mr Mama menjelaskan KCE berjaya mengumpul 147 ahli kelab seluruh Semenanjung Malaysia yang sudi sama-sama berkonvoi menuju ke Dataran Zero Sungai Petani, Kedah.

 Menyarung baju jenama mereka sendiri, sebelum memulakan konvoi, ahli kelab diberi taklimat oleh anggota polis trafik dan terpancar kegembiraan di wajah mereka. Menjadi acara wajib, sebelum memulakan perjalanan ahli-ahli KCE bersama keluarga merakamkan peristiwa bersejarah itu di hadapan Perdana Putra.

Sesudah itu, Timbalan Naib Presiden Pengurusan Perhubungan Pemasaran dan Pelanggan Chery Holdings (Malaysia) Sdn Bhd, Jonathan Goh melepaskan konvoi sepanjang 11 kilometer itu.

Ridhoan memberitahu, ahli KCE cukup teruja dengan aktiviti tersebut bukan sahaja acara tahunan tetapi mereka turut berkongsi saat indah itu bersama keluarga sebaik diiktiraf sebagai konvoi terpanjang di Malaysia.
Perkara itu dipersetujui oleh ahli KCE, Mahdir Mokhtar, 39. Katanya kelab kereta MPV sememangnya sinonim dengan kelab keluarga.

“Jika kelab lain kerap melibatkan pemilik kereta sahaja, KCE mengajak seluruh anggota keluarga turut serta dalam setiap acara terutama konvoi, sesuai dengan fungsi kenderaan itu untuk seisi keluarga.

"Konvoi bersejarah ini turut dikongsi bersama isteri dan anak, secara tidak langsung kami dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan," katanya yang menyertai kelab tersebut sejak 2009.

Selain itu, melibatkan diri di dalam kelab kereta membantu ahli berkongsi pendapat dan mencari jalan penyelesaian sekiranya kereta mengalami kerosakan.

Kata Nazrol Khalil, 26 pertemuannya bersama ahli KCE di pusat servis Cherry telah memperkenalkan beliau kepada kelab berkenaan.

"Setelah menyertai KCE, banyak informasi dapat dikongsi bersama ahli lain dari segi servis dan mendapatkan alat ganti serta melibatkan diri dalam program anjuran kelab," katanya.

Mengulas lanjut tentang konvoi itu, Ridhoan berkata pergerakan berjalan lancar walaupun ada beberapa kenderaan yang mengalami masalah teknikal kecil.

"Namun masalah itu dapat diatasi oleh mekanik kami," katanya.

Walaupun terlewat sejam dari perancangan asal, KCE berjaya mencipta rekod konvoi terpanjang di Malaysia dan pengesahan tersebut dilakukan oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Ali Yahaya.

Sementara itu, meneruskan tradisi perhimpunan tahunan KCE, Mr Mama menyatakan KCE akan bekerjasama bersama Tourism Terengganu bagi mempromosikan Tahun Melawat Terengganu pada 2013. Oleh itu, katanya.

Kuala Terengganu akan menjadi lokasi perhimpunan seterusnya bagi ahli kelab KCE pada penghujung 2012 selain beriadah bersama keluarga KCE turut akan mempromosikan lokasi pelancongan di Kuala Terengganu.

Konvoi sejauh 397.2 kilometer (km) itu turut mendapat 25 tajaan pelbagai agensi antaranya Chery Alado Automobile Sdn Bhd, Yokohama Batteries, Tom's Stickers, Cinta Sayang Resort dan Ultraracing.