Bajet 2013 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada jam 4.pp petang ini dijangka akan menjadi ‘Bajet untuk Rakyat’.
Ini kerana, seperti beberapa bajet yang dibentangkan sebelum ini di bawah pentadbiran Najib, Bajet 2013 juga akan padat dengan pelbagai hadiah istimewa kepada rakyat. Di antara yang mungkin diumumkan ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk kali kedua.
Sebelum ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membelanjakan lebih RM2 bilion untuk mengagihkan BR1M kepada 4.7 juta isi rumah.
Tahun ini, kerajaan Persekutuan memberi bantuan RM500 kepada setiap isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan ke bawah bagi meringankan bebanan mereka menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat di negara ini.
Selain itu, sumber berkenaan memberitahu, bonus untuk kakitangan awam juga berkemungkinan akan turut diumumkan.
“Sekurang-kurangnya setengah bulan bonus mungkin ada, ini tambahan kepada setengah bulan yang sudah pun diberikan sebelum hari raya baru ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Sumber kedua pula memberitahu, kerajaan dijangka akan mengurangkan cukai dan duti ke atas kenderaan dengan kuasa enjin (cc) yang rendah.
Selain itu, Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) akan menerima lonjakan yang amat menarik dengan peruntukan bagi projek berkenaan dijangka dipertingkatkan 5 kali ganda jumlahnya berbanding peruntukan dalam bajet sebelum ini.
“Kami dengar pihak PRIMA mohon peruntukan 1 bilion dan dijangka ia akan diluluskan,” katanya.
Sementara itu, kenyataan Pejabat Perdana Menteri menyebut, Najib akan membentangkan bajet yang memfokuskan kepada usaha untuk mengekalkan memontum pertumbuhan ekonomi negara.
“Perdana Menteri Najib Razak akan membentangkan pelan kewangan kerajaan bagi tahun akan datang, dalam satu bajet yang bertujuan untuk memperkukuhkan pertumbuhan dan memastikan Malaysia berada di landasan kewangan yang bertanggungjawab,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Berucap di Parlimen, Perdana Menteri memberitahu akan mengumumkan polisi yang bertujuan untuk mengekalkan permintaan tempatan di samping memastikan semua rakyat Malaysia mengalami peningkatan dari segi mutu kehidupan.
Dalam pada itu, seorang jurucakap kerajaan berkata;
“Di sebalik ketidak-tentuan ekonomi global, langkah-langkah yang diambil kerajaan telah berjaya memastikan ekonomi Malaysia terus berkembang sedikit demi sedikit.
“Untuk meneruskan momentum itu, bajet esok akan terus melabur untuk masa depan jangka panjang – memperkukuhkan pertumbuhan, tetapi pada masa yang sama memperkuatkan komitmen kami ke arah tanggungjawab fiskal,” katanya.