welkang... welkang... to my blog Cgu Mizan

ilmu yang sempurna lahir dari pendidikan yang ikhlas, jujur, keyakinan dan paling penting adalah menghargai pengorbanan ibubapa, guru dan diri sendiri.... muafakat, saling berganding bahu, kerjasama satu pasukan pasti dapat 'MELESTARIKAN PENDIDIKAN TERBILANG'...

aku seorang cikgu. sudah banyak rentetan pengalaman pahit dan manis yang telah aku lalui... sudah 25 tahun aku mengajar disalah sebuah sekolah menengah dan sekarang beralih angin mengajar di Kolej Vokasional di negeri terengganu, sudah beribu-ribu orang bekas anak didikku... ada yang dah bersuami/isteri, ada yang tak kahwin-kahwin lagi... acapkali juga aku berselisih @ berjumpa tanpa dirancang, alhamdulillah ramai juga yang menegur sapa, ajak gi kedai pekene teh tarik, ajak gi rumah... ini kebanyakkan bekas pelajar yang dulunye mase kat sekolah adalah pelajar bermasalah... kene rotan, pumping, denda(maklumlah dulu aku warden asrama, kini guru disiplin pulak).... tp diorang anggap itu satu pengalaman mengajar erti kehidupan... sebenarnya ramai juga yang berselisih tapi tak nak tegur, apa lagi memalingkan muka pulak... tak pa itu hak diorang..... yang penting kerja buat aku ikhlas demi anak bangsa... aku tetap aku

kepada semua warga pendidik semoga usaha, kesungguhan dan bakti cikgu mendapat rahmat dan limpahan kurniaNya.GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA. semoga cikgu dan keluarga dalam naungan danlindunganNya. amin.. allahhu akhbar.

sambil duk rileks tu, bolehlah kita berkongsi idea, maklumat dan pandangan dalam semua kategori yg diketengahkan; PENDIDIKAN, ISU SEMASA, TAZKIRAH, SUKAN, JALANG-JALANG CARI MAKANG, CHERY EASTAR CLUB dan CATATAN KU...

Ahad, 3 Jun 2012


Tujuh petunjuk kebahagian umat Islam di dunia

Bersyukur mendapat nikmat, mencari rezeki dari sumber halal antara dituntut agama


IBNU Abbas salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang diberi gelaran Turjumanul Quran yang bermaksud ahli yang pakar dalam menterjemah dan mentafsirkan al-Quran. Dia sangat tekun menjaga dan melayani Rasulullah SAW sehingga pernah didoakan secara khusus oleh Rasulullah SAW supaya dikurniakan kefahaman mendalam dalam agama dan ilmu takwil al-Quran. Pada usia sembilan tahun, Ibnu Abbas menghafal al-Quran dan menjadi imam di masjid. Sejak kecil, Ibnu Abbas sudah menunjukkan kecerdasan luar biasa dan semangat yang tinggi dalam menuntut ilmu. 

Pelbagai gelaran diberikan kepada Ibnu Abbas antaranya Faqih al-Ashr (ahli fekah pada zamannya), Imam al-Mufassirin (penghulu ahli tafsir), dan al-Bahr (lautan ilmu).

Pada suatu hari, Ibnu Abbas ditanya oleh seorang tabiin mengenai petunjuk kebahagiaan dunia yang dinikmati oleh Muslim. Lantas, Ibnu Abbas menjawab, terdapat tujuh petunjuk kebahagiaan dunia. 

Pertama, hati yang selalu bersyukur dan menerima segala nikmat dengan penuh keikhlasan. Setiap Muslim wajib bersyukur ke atas pelbagai nikmat dikurniakan Allah SWT, baik kecil mahupun besar. Bersyukur dan mengingati Allah akan memudahkan semua amalan serta kegiatan. 

Kedua, pasangan hidup yang salih akan mewujudkan suasana rumah tangga serta keluarga yang salih pula. Pada hari akhirat kelak, seorang suami yang juga imam dalam lingkungan keluarganya, akan diminta pertanggungjawaban mengajak isteri dan anaknya ke arah kehidupan salih. 

Selanjutnya, isteri solihah akan memiliki kesabaran dan keikhlasan luar biasa dalam melayani kerenah suami dan pelbagai ragam tabiat anak-anaknya.

Ketiga, anak yang salih. Anak sebenarnya amanah dan ujian daripada Allah kepada setiap ibu bapa. Firman Allah yang bermaksud: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak kamu itu hanyalah ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jugalah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal, ayat 28) 

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang anak Adam meninggal, maka terputuslah pahala seluruh amalannya kecuali pahala daripada tiga perkara; iaitu amalan sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak salih yang selalu mendoakan untuk kesejahteraan kedua orang tuanya.” (Hadis riwayat Muslim) 

Imam al-Ghazali ada menegaskan: “Kanak-kanak adalah amanah Allah kepada ibu bapa. Hatinya yang masih bersih adalah mutiara berharga yang sedia menerima untuk dibentuk dan digilap.”

Pernah satu ketika, Rasulullah SAW menjawab pertanyaan seorang anak muda yang selalu menggendong ibunya yang uzur. “Ya Rasulullah, apakah aku termasuk 

berbakti kepada orang tua?” Rasulullah SAW menjawab, “Sesungguhnya Allah SWT amat reda kepadamu, kamu adalah anak yang salih dan berbakti kepada dua orang tua, akan tetapi wahai anakku, ketahuilah bahawa cinta orang tuamu itu tidak akan terbalaskan olehmu sampai bila-bila.”

Keempat, persekitaran yang kondusif untuk iman kita. Sehubungan itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama orang yang benar.” (Surah al-Taubah, ayat 119)

Justeru, Rasulullah SAW berpesan kepada umatnya supaya bersahabat dengan orang yang dapat memberi kebaikan dan sering menasihati kepada perkara makruf. 

Kelima, harta yang halal. Islam mengutamakan kualiti harta, bukannya kuantiti. Diriwayatkan Imam Muslim, Rasulullah SAW pernah bertemu seorang sahabat yang mengangkat tangan lalu berdoa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kamu berdoa dengan doa yang amat baik, namun makanan, minuman, dan pakaian serta tempat tinggalnya diperoleh dari sumber haram, maka bagaimana mungkin doanya akan dimakbulkan Allah SWT?”

Keenam, semangat memahami dan mendalami ilmu agama. Semakin lama, mendalam dia belajar dan menuntut ilmu agama, maka semakin tinggi serta mendalam cintanya kepada agama, semakin menebal pula cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya. 

Cinta inilah yang akan memberi cahaya bagi hatinya, kerana semangat memahami dan mendalami ilmu agama akan menghidupkan hatinya. 

Justeru, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Kelebihan seorang berilmu berbanding dengan seorang abid adalah ibarat kelebihan bulan purnama yang terang benderang di sisi gugusan bintang bergemerlapan dan cakerawala yang lain.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Ketujuh, umur yang diberkati Allah SWT. Semakin tua seseorang itu, maka dia menjadi semakin salih seperti resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Oleh itu, setiap detik dan saat yang dilaluinya, akan diisi dengan amal ibadah.

Benarlah apabila seorang ahli sufi terkenal berkata: “Wahai anak cucu Adam! Hidup kamu hanyalah himpunan hari-hari yang dapat dihitung. Bila berlalunya satu hari bererti hilanglah sebahagian darimu. Dan jika hilang sebahagian darimu, maka bertambah dekatlah masa matimu. Sekiranya kamu mengetahui dan menginsafi hal ini, hendaklah kamu beramal salih.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan