Liverpool sah lamar Rodgers
LONDON - Liverpool dilihat bakal memilih Brendan Rodgers sebagai pengurus baru kelab itu.
Perjanjian untuk mengikat Rodgers dari Ireland Utara yang ketika kini mengendali Swansea dijangka dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.
Selepas mengadakan perbincangan dengan pemilik kelab dari AS, Fenway Sports Group, Rodgers memberitahu Swansea bahawa dia ditawarkan tugas sebagai pengganti Kenny Dalglish dan dia sedia menerimanya.
"Kami akan cuba memuktamadkan perkara ini dalam tempoh 24 jam.
"Walaupun kami sangat kecewa kehilangan orang berbakat sepertinya, seorang pengurus muda, kami tidak berhasrat membantah keputusannya," kata pengerusi Swansea, Huw Jenkins.
Liverpool perlu membayar pampasan kepada Swansea, dilaporkan sekitar AS$6 juta, kerana Rodgers masih memiliki kontrak lima tahun selepas menyertai kelab itu Januari lalu.
Pada musim pertamanya sebagai pengurus dalam EPL, Rodgers disifatkan amat berjaya apabila Swansea menamatkan saingan liga pada tangga ke-11 pada musim pertama kelab itu dalam EPL.
Dia diminati kerana gaya permainan kelab Wales itu yang begitu menarik, iaitu berasaskan penguasaan bola.
Ia menjadikan Rodgers salah seorang pengurus yang diburu di Britain.
Liverpool menamatkan kempen EPL pada tangga kelapan, iaitu kedudukan paling rendah dalam tempoh 18 tahun.
Perlawanan terakhir Reds menyaksikan mereka kalah 0-1 kepada Swansea.
Dalglish mengemudi Liverpool memenangi Piala Liga, menamatkan kemarau kejuaraan enam tahun kelab itu. Namun ia tidak cukup menyakinkan pengurusan bahawa dia merupakan individu yang tepat untuk mengembalikan kegemilangan juara Eropah lima kali itu.
Liverpool pernah menyasarkan pengurus muda sebagai pengganti Dalglish apabila mengadakan perbincangan dengan Martinez. Pengurus Wigan itu memastikan kelabnya kekal dalam EPL dengan kebangkitan pada hujung musim termasuk mengalahkan Liverpool 1-0.
Rodgers pernah menjadi pengurus pasukan remaja Chelsea ketika di bawah Jose Mourinho dan dia juga pernah menjadi pengurus kelab saingan peringkat divisyen, Watford dan Reading.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan